Saya mengambil kesempatan untuk memberi sedikit tips
untuk menjaga dan membesarkan anak ayam kampong selepas menetas hingga ke
peringkat pembesaran. Saya terpanggil untuk menulis kerana ada beberapa
penternak yang menghubungi saya bertanya pasal masalah anak ayam yang sakit/mati
didalam brooder/reban asuhan serta tidak selera makan dedak. Apa yang
saya tulis adalah berdasarkan pengalaman yang saya lalui sebelum ini dan tidak
semestinya tepat dan sempurna. Ianya boleh dijadikan bahan bacaan, rujukan atau
panduan ringkas kepada bakal-bakal penternak atau kepada penternak yang
menghadapi masalah. Berdasarkan pengalaman, kadar kematian anak ayam didalam
brooder dan reban asuhan saya adalah sangat kecil sekali(kurang dari 5%).
Dibawah ini saya nyatakan secara terperinci, langkah-langkah yang perlu
dilakukan sepanjang tempoh pembesaran anak-anak ayam yang ditetas menggunakan
incubator. Semuga ianya berguna.
Brooder:
a) Anak ayam yang baru menetas dikeluarkan dari hatcher/incubator
selepas 2 hari, setelah bulu kering sepenuhnya dan kakinya kuat
berdiri.
b) Brooder yang bersesuaian reka bentuknya diletak
didalam bangunan yang tertutup/berteduh untuk mengelak kesejukkan dan kepanasan
melampau serta berjaring untuk menghindari gigitan nyamuk.
c) Lampu yang bersesuaian watt nya dipasang 24
jam.
d) Bekas minuman sentiasa dibersihkan dan air minuman ditukar baru
setiap hari.
e) Makanan dedak halus hitam 'Gold Coin' (201C) diberi
sepanjang masa.
g) Brooder hendaklah dibersihkan dan dinyah kuman dengan
diisfectant
setiap kali sebelum masuk anak ayam baru bagi mengelak jangkitan
penyakit.
Contoh Brooder yang
cukup ringkas, tetapi sangat praktikel. Tinggi 5'
dan boleh isi 25-30 ekor anak ayam
setiap tray.
Contoh-contoh brooder dari carian
internet
Reban Asuh Mula:
a) Setelah anak ayam berusia 10 -14 hari, barulah
dipindah kereban asuh. Seboleh-bolehnya lakukan diwaktu malam untuk elak stress
kerana pindah reban baru yang besar dan nampak pemandangan luar.
b) Reban asuh berbumbung boleh berada diluar atau dibawah
bangunan berteduh. Lantai reban asuh dilapik dan ditabur habuk papan/sekam padi
supaya sentiasa kering dan mengurangkan kesan ammonia.
c) Dinding reban asuh dipasang jaring nyamuk jika dinding
menggunakan jaring dawai.
d) Dinding reban diselimut dengan apa-apa bahan supaya
dapat mengekalkan kepanasan lampu diwaktu malam tetapi membuat sedikit bukaan
diatas dan bawah untuk peredaran udara baru supaya ayam tak lemas dan mengelak
pengumpulan gas ammonia yang merbahaya kepada sistem pernafasan. Selimut dibuka
diwaktu siang.
e) Lampu yang sesuai watt nya dengan keluasan reban asuh
dipasang pada malam sahaja.
f) Sebahagian dinding dibuka pada siang hari untuk
peredaran udara dan mengelak kepanasan melampau jika berada diluar bangunan
berbumbung.
g) Bilangan anak ayam hendaklah bersesuaian dengan
keluasan reban asuh agar tidak berhimpit dan bersesakan . Bekas makanan yang
mencukupi mengikut bilangan anak ayam elak berebut makanan.
h) Beri makanan dedak halus hitam 'Gold Coin'
(201C)sepanjang masa.
i) Reban hendaklah dibersihkan dan dinyah kuman dengan diisfectant
setiap kali sebelum masuk anak ayam baru bagi mengelak jangkitan
penyakit.
Contoh-contoh reban asuh mula. Sebaiknya dekat dengan
rumah
supaya dapat dipantau sekerap yang
mungkin.
Reban Asuh Akhir:
a) Setelah berusia 30-40 hari, pindahkan anak ayam
kereban asuh yang lebih besar. Seboleh-bolehnya dibuat diwaktu malam untuk elak stress
dan lebih mudah ditangkap didalam gelap.
b) Reban ini masih perlu dipasang jaring nyamuk, lantai
masih perlu berlapik, tetapi tidak perlu diselimut pada waktu malam. Peredaran
udara sudah mencukupi melalui jaring nyamuk.
d) Antibiotik merah atau Amoxicillin
50% - 6in1 pada dos yang rendah boleh diberi setiap 7 hari sekali sebagai
langkah pencegahan dari penyakit E.Coli, Salmonnella, Fowl Cholera, Cronic Respiratory
Deasease(CRD), Coryza dan Staphylococcosis
e) Vitamin diberi 5-7 hari sekali untuk menambah kesehatan
dan menggalakkan tumbesaran anak ayam.
f) Makanan dedak halus 'Gold Coin'
yang mencukupi
dengan bilangan anak ayam boleh diberi 2 kali sehari.
g) Setelah berusia 2 bulan, dedak halus kuning boleh
diperkenalkan. Beri dedak ini setelah benar-benar lapar untuk mengelak dikais
dan bertaburan dibuang kerana masalah pertukaran rasa makanan. Sebab itu lapik
lantai diperlukan. Makanan yang jatuh akan dimakan semula bila anak ayam lapar
semula.
h) Hindari kepanasan terik matahari secara tepat terutama
waktu petang. Reban asuh ini hendaklah dikawasan teduh/redup.
i) Bekas minuman hendaklah dibersihkan dan diberi air
minuman bersih setiap hari.
j) Reban hendaklah dibersihkan dan dinyah kuman dengan diisfectant
setiap kali sebelum masuk anak ayam baru bagi mengelak jangkitan
penyakit.
Contoh reban asuh akhir. Perhatikan jaring nyamok
dipasang sepenuhnya.
Reban Pembesaran Awal:
Reban ini hendaklah dibina didalam kawasan
berpagar berasingan dari ayam dewasa
a) Setelah berusia 60 hari, anak-anak ayam boleh
dipindahkan ke reban pembesaran.
b) Reban yang berlantai dan berdinding jaring, boleh
dikurung serta berbumbung.
c) Biarkan selama 2 minggu didalam reban ini supaya kenal
tempat tinggal barunya.
d) Masih diberi makan dedak komersil secukupnya untuk 2
kali sehari.
e) Perkenalkan makanan pelbagai jenis e.g dedak, nasi,
hampas soya atau sebagainya sedikit demi sedikit sewaktu benar-benar
lapar.
f) Bekas minuman dibersihkan dan air di ganti baru setiap
hari.
g) Antibiotik pada dos yang rendah diberi setiap 7 hari
sekali sebagai langkah pencegahan. Vitamin juga diberi selang 5-7 hari secara
berselang seli.
h) Selepas 2 minggu, buka pintu reban, biarkan turun
sendiri. Tangga hendaklah dibina jika reban tinggi.
i) Beri makanan didalam bekas diatas tanah pada waktu
siang dan didalam reban diwaktu malam.
j) Pada sebalah malam, kutip anak ayam yang tak pandai
masuk sendiri kereban untuk elak kesejukan oleh cuaca malam/hujan.
k) Sediakan papan pellet atau apa-apa benda yang lebih
tinggi untuk ayam bertenggek jika tanah rendah dan menakung air diwaktu hujan
lebat untuk elak ayam mati lemas atau kesejukan.
l) Dinding reban tidak perlu diselimut tetapi lampu jimat
eletrik/flourecent perlu dipasang supaya ayam nampak dan mematuk
nyamuk.
j) Reban hendaklah dibersihkan dan dinyah kuman dengan diisfectant
setiap kali sebelum masuk anak ayam baru bagi mengelak jangkitan
penyakit.
Contoh reban pembesaran awal.
Reban pembesaran Akhir:
a) Setelah berusia 80-90 hari, ayam sudah boleh
dipindahkan ke reban pembesaran akhir. Reban ini berasingan dari reban
pembesaran awal diatas. Reban ini adalah tempat ayam ini membesar dan tidor
sehingga dewasa dan dijual.
b) Reban ini berbumbung, berdinding, berlantai, berpalang
dan berpagar. Ayam dikurung sehingga 2 minggu untuk memperkenalkan tempat
barunya .
c) Makanan campuran seperti dedak, hampas kelapa/soya,
sisa makanan dan sebagainya boleh diberi secara berjadual 2 kali
sehari.
d) Sepanjang dalam tempoh kurungan, ayam diasuh makan
didalam bekas diatas tanah didalam kawasan reban untuk mengelakkan perebutan
makanan dengan ayam-ayam yang lebih dewasa. Selepas habis makan, pintu pagar dibuka untuk
dibiarkan lepas keluar berjemur, bermain, mandi debu, rehat dan tidor
siang.
e) Asuh anak ayam tidor diatas para/palang kayu. Pada
sebelah malam, angkat semua anak ayam dan letakkan diatas palang kayu. Buat
setiap hari sehingga semua ayam tahu naik sendiri untuk tidor diatas palang.
Lantai yang kosong, boleh digunakan untuk anak ayam yang baru pindah masuk
reban.
f) Reban hendaklah dibersihkan dan dinyah kuman dengan diisfectant
setiap kali sebelum masuk anak ayam baru bagi mengelak jangkitan penyakit.
Contoh reban pembesaran akhir.
Gambar-gambar reban pembesaran dari rakan
ternak
Penternakan ayam kampong memang rumit jika jika dibuat
dalam skala yang sederhana/besar. Ini adalah kerana proses pembesarannya tidak
serentak kerana anak-anak ayam ditetas belbagai peringkat. Ayam kampong juga
lebih terdedah kepada ancaman serangan penyakit kerana persekitarannya yang
sangat mencabar. Banyak jenis reban perlu dibina mengikut kesesuaian umur
bagi mengelakan persaingan untuk mendapatkan makanan dengan ayam dewasa serta
jenis makanannya yang berbeza mengikut usia. Tidak seperti ayam kacuk atau
ayam daging, dimana ia membesar didalam reban yang sama dari hari mula masuk reban
sehingga dijual atau 'once in, all out'.
PERINGATAN
PENTING
1. BUAT
PEMBASMIAN KUMAN PADA SETIAP REBAN SETIAP KALI SEBELUM MASUK AYAM ATAU SECARA
BERKALA (1 - 2 BULAN SEKALI) DENGAN MENYEMBUR SELURUH REBAN TERMASUK LANTAI,
DINDING, BUMBUNG, PARA, PALANG, SANGKAR DAN PALING UTAMA -TANAH. TINDAKAN INI
DAPAT MENCEGAH SERANGAN PENYAKIT TERTENTU.
2. BERI VAKSIN
NEWCASTLE DESEASE SETIAP 3 BULAN SEKALI KEPADA SEMUA AYAM-AYAM YANG ADA DI REBAN
ANDA TANPA GAGAL. INI DAPAT MENCEGAH SERANGAN SAMPAR YANG BOLEH MEMUSNAHKAN
HAMPIR SELURUH TERNAKAN ANDA DALAM MASA SINGKAT.
3. BERI
ANTIBIOTIK 6 IN 1 SECARA BERKALA KEPADA SETIAP AYAM TERUTAMANYA YANG SUDAH TURUN
UNTUK MENCEGAH SERANGAN PENYAKIT KRONIK YANG BOLEH MEMUSNAHKAN TERNAKAN ANDA
SEDIKIT DEMI SEDIKIT.
LINDUNGLAH TERNAKAN &
PELABURAN ANDA
DENGAN SEDIKIT TINDAKAN
ANDA
DEMI MASA DEPAN
ANDA
IBU AYAM MENGERAM
Bagi penternak yang menggunakan incubator sepenuhnya,
langkah-langkah ini perlu dilakukan kepada ibu-ibu ayam yang sudah mula duduk
mengeram walau pun sangkar kosong atau duduk atas telor ayam lain.
a) Tangkap dan kurung didalam reban yang berasingan
selama 10-14 hari.
b) Beri makanan dedak komersil dan minuman yang dicampur
vitamin agar segera kembali segar semula .
c) Mandikan dengan menyiram air ke semua ibu ayam diwaktu
siang yang panas untuk menghilangkan sifat mengeram.
d) Setelah ayam kelihatan segar dan ceria semula,
lepaskan untuk dikahwini oleh bapak ayam yang sentiasa rindu dan dahagakan kasih
sayang ibu ayam.
Bagi penternak yang mengamalkan pengeraman secara alami,
ikut langkah-langkah ini
a) Rampas anak-anak ayam dari ibunya dan masukkan
anak-anak kedalam brooder.
b) Ikuti langkah langkah yang sama seperti anak ayam yang
ditetas menggunakan incubator.
c) Tangkap ibu ayam dan ikuti langkah-langkah yang sama
untuk ibu ayam mengeram.
Didalam website http://poultrykeeper.com , terdapat banyak
ilmu pengetahuan yang amat berguna berkaitan penternakan ayam. Bacalah dan anda
akan lebih memahami banyak perkara sebagai bekalan ilmu sebagai penternak.
Selamat
mencuba.....................
(dipetik daripada
anggerik-agro-farm.blogspot.com)